TLDM: Wanita, isteri kenamaan lancar kapal amalan tradisi


Upaca pelancaran dan penamaan kapal oleh wanita - biasanya orang kenamaan - adalah perkara biasa, kata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
TLDM merujuk pelancaran kapal misi pesisir (littoral mission ship, LMS) yang pertama bagi angkatan itu di Wuhan, China semalam.
Dinamakan KD Keris, ia dilancarkan isteri menteri pertahanan, Normah Alwi.
"Upacara pelancaran dan penamaan kapal TLDM oleh wanita yang dilaksanakan selama ini adalah upacara tradisi sejak Royal Navy ditubuhkan, namun telah disesuaikan dengan syariat Islam dan adat ketimuran Malaysia.
"Lady sponsor atau wanita yang terpilih terdiri di kalangan isteri kenamaan seperti isteri perdana menteri, menteri pertahanan dan kerabat diraja atau sultan," kata TLDM dalam kenyataan hari ini.
TLDM turut memberi beberapa contoh, antaranya KD Kedah yang dinamakan oleh Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz pada 2003 dan KD Tunku Abdul Rahman oleh Rosmah Mansor pada 2007, isteri bekas perdana menteri Najib Razak.
"Bagi kapal selain daripada nama negeri dan pahlawan, isteri kenamaan negara dipilih.
"Justeru upacara pelancaran dan penamaan kapal LMS pertama TLDM yang disempurnakan isteri menteri pertahanan, Normah Ali, semalam adalah tradisi yang diamalkan selama ini oleh TLDM, dan gelaran lady sponsor kepada beliau adalah perkara yang biasa dilaksanakan," kata TLDM.
Dalam kenyataan itu, TLDM turut melampirkan senarai kapal dan tokoh yang telah melancarkannya, bermula 1964 hingga 2017.

- malaysiakini

Post a Comment

0 Comments