Hamilton terpantas latihan di Monaco



MONACO: Juara dunia Formula Satu, Lewis Hamilton muncul pemandu terpantas ketika Mercedes masih berkabung dalam kedua-dua sesi latihan di Grand Prix Monaco, awal pagi tadi.

Pemandu Britain itu yang dikecualikan daripada sesi bertemu media susulan berkabung kematian Pengerusi Bukan Eksekutif Mercedes dan juga juara dunia tiga kali, Niki Lauda, merakam masa terpantas satu minit 11. 118 saat pada sesi kedua dengan menggunakan tayar lembut.

Juara dunia lima kali itu mendahului tujuh mata di depan rakan pasukan, Valtteri Bottas dalam kedudukan teratas pemandu selepas lima perlumbaan, merakamkan 1:12.106s pada sesi pertama di sebelah pagi.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen pula pemandu kedua terpantas dalam sesi pertama, hanya 0.059 saat lebih perlahan berbanding Hamilton, tetapi tidak bersaing dalam sesi kedua selepas jenterainya berdepan kebocoran sistem penyejuk.

Bottas menamatkan sesi latihan di tempat kedua dan 0.081 saat di belakang rakan pasukannya.

“Ia adalah impian setiap pemandu datang ke Monaco dan memiliki kereta yang boleh digunakan sepenuhnya dengan kemampuan anda,” kata Hamilton.

“Kami membuat beberapa perubahan kecil pada dua sesi sebelum ini dan ketika sesi latihan berlangsung, saya agak gembira dengan perubahan yang dilakukan.”

Hamilton dan Bottas sudah memenangi setiap perlumbaan tahun ini dengan lima kejayaan yang berkesudahan 1-2 – permulaan terbaik dalam satu musim – dan sekali lagi menjadi pemandu pilihan buat kali keenam pada perlumbaan hujung minggu ini.

Post a Comment

0 Comments