
PARIS: Serena Williams turun sebagai bukan pilihan di Terbuka Perancis buat kali pertama dalam 20 tahun bersama persoalan mengenai kecergasannya akibat musim yang buruk, sementara Naomi Osaka perlu mencari prestasi terbaik dalam mengejar mahkota major ketiga berturut-turut.
Williams, 37, masih menanti rekod kejayaan Grand Slam ke-24, dengan kejayaan terakhirnya adalah pada Terbuka Australia 2017, sejurus sebelum berehat kerana mengandung.
Beliau kemudiannya kembali dengan bergaya tetapi dua kali tewas dua tahun lalu sekali gus gagal menyamai rekod Margaret Court, dia tewas dalam final Wimbledon kepada Angelique Kerber sebelum satu lagi final kepada Osaka di Flushing Meadows.
Kempen Williams tahun ini bagaimanapun tidak seperti dirancang, dengan beberapa siri kecederaan menyebabkan dia hanya tampil dalam empat perlawanan sejak tersingkir pada suku akhir Terbuka Australia kepada Karolina Pliskova.
Tetapi beliau yakin apa dilakukan di luar gelanggang boleh membantunya menampilkan permainan terbaik dalam kejohanan besar.
“Saya sebenarnya tidak dapat berlatih atau membuat banyak persiapan. Saya tak bermain lebih lama daripada saya jangka,” kata juara Terbuka Perancis sebanyak tiga kali di Rome sebelum menarik diri daripada kejohanan menjelang pertemuan pusingan kedua bertemu kakaknya, Venus.
“Tetapi saya lakukan semua perkara untuk kekal cergas. Saya tahu saya sukakan musim tanah liat dan saya mahu turut serta.
“Ia bukanlah mengenai hari ini atau esok. Jelas sekali bagi saya ia adalah bermain dengan baik pada semua masa adalah penting … Sudah tentu di Slams dan lain-lain, hanya untuk persiapan bagi acara sebegitu.”
Pemain nombor satu dunia, Osaka pula bergelut mendapatkan prestasinya sejak berpisah dengan jurulatihnya, Sascha Bajin selepas memenangi gelaran Terbuka Australia.
Tetapi bintang Jepun itu tidak memenangi sebarang gelaran sejak itu dan seperti Williams, menarik diri daripada Terbuka Itali kerana kecederaan sejurus sebelum pusingan suku akhir menentang Kiki Bertens.
“Saya rasa saya selesa kini. Ia seperti saya terjatuh tiba-tiba. Saya rasa jika saya boleh mengawalnya, ia akan jadi bagus,” kata Osaka yang tidak pernah mara hingga ke pusingan kedua di Paris.
0 Comments