
LONDON: Adam Lallana ‘sempurna’ untuk Manchester City, kata bekas bintang kelab juara Inggeris itu, Danny Mills sambil melabel pemain yang terpinggir di Liverpool itu ‘amat berbakat dan memiliki kebolehan semula jadi’.
Selepas tersisih di Anfield berikutan saingan yang kompetitif, perpindahan menjadi antara pilihan buat pemain kebangsaan England itu pada musim panas ini.
Selain berdepan saingan ‘menakutkan’ di bahagian serangan Liverpool, peranan Lallana dihadkan oleh pengendali Jurgen Klopp selepas dia mengharungi beberapa siri masalah kecederaan.
Situasi sama boleh terjadi di Etihad dengan Pep Guardiola turut ‘kaya’ dengan bakat tetapi pemain berusia 31 tahun dipercayai Mills mampu menambah kreativiti buat pemenang tiga gelaran domestik Inggeris musim ini itu.
“Kamu hampir melupakannya tetapi dia amat berbakat dan memiliki kebolehan semula jadi,” kata Mills. “Saya boleh berkata yang dia lebih sesuai dengan gaya Man City, dia sempurna untuk mereka dengan ketinggiannya, kepantasan dan larian bijak daripada belakang.
“Apabila kamu mula berusia, kamu menyedari yang kamu tidak lagi sentiasa menang dan karier kamu tidak akan berlarutan selama-lamanya.
“Liverpool jelas mahu mengekalkannya tetapi ia bergantung kepada dirinya sendiri bagaimana dia mahu menyalakan semua kariernya. Jika itu yang dimahukan, dia perlu pergi. Dia adalah pemain yang amat bagus dan pilihan kelab yang mahu mendapatkannya tidak terhad.”
Tiada sebarang petanda City mahu mendapatkan Lallana dengan spekulasi ketika ini lebih terarah untuk kepulangan semula ke Southampton.
Legenda Saints, Francis Benali berkata dia percaya bekas bintang kelab itu pasti dialu-alukan ke St Mary sekali pun dia pernah dipalit kontroversi berhubung perpindahannya ke Anfield.
0 Comments