
MONACO: Kimi Raikkonen bakal menyertai Grand Prix Formula Satu (F1) ke-300 buatnya di Monaco pada hujung minggu ini namun juara dunia 2007 itu tidak peduli mengenai rekod bakal diciptanya.
Malahan, pemandu dari Finland itu memberitahu pemberita, beliau tidak mahukan perhatian sebegitu.
“Saya cuba memaksa mereka membatalkan segalanya, tetapi saya tidak berjaya setakat ini,” kata pemandu Alfa Romeo itu yang sebelum ini bersama Ferrari sehingga hujung tahun lalu.
“Ia tiada beza daripada minggu lalu atau perlumbaan seterusnya. Pada akhirnya, ia sekadar nombor. Sudah pasti ia berbeza daripada perlumbaan pertama tetapi selepas itu apabila anda berada di satu tempoh, ia tidak ada beza sangat.”
Pasukan menghantar emel previu perlumbaan pada awalnya dengan kepala Raikkonen diletakkan pada gambar pahlawan Spartan dari filem tahun 2006, ‘300’ dengan bilangan nombor itu ditulis corak darah serta gambar pertarungan di belakangnya.
“Semua orang bercakap mengenai perlumbaan ke-300 saya tetapi saya lebih berminat mengenai persembahan kami,” kata pemandu berumur 39 tahun itu.
Sejak perlumbaan sulungnya bersama Sauber (kini Alfa) di Australia pada 2001, pemandu itu mengumpul 21 kemenangan grand prix.
Pemandu Brazil, Rubens Barrichello masih memegang rekod perlumbaan sebanyak 323, satu rekod yang boleh dipecahkan Raikkonen jika dia masih berlumba sehingga hujung tahun hadapan.
0 Comments