
LONDON: Cristiano Ronaldo dijangka akan menerima saman terhadap dakwaan kesalahan merogol selepas peguam kepada Kathryn Mayorga, berjaya mengesan alamat kediaman terbaru pemain bola sepak itu di Itali.
Penyerang Juventus itu bagaimanapun menafikan dakwaan serangan terhadap Mayorga di sebuah hotel di Las Vegas, 10 tahun lalu.
Polis Amerika Syarikat kemudian membuka semula kertas siasatan pada Oktober lalu dan peguam Mayorga memburu bintang Portugal sejak itu.
Menurut The Mirror, alamat kediaman bekas bintang Manchester United itu di Turin diperoleh selepas semakan rekod hartanah dilakukan oleh Central Authority di Itali.
Kini pasukan peguambela Mayorga sedang memohon supaya saman dan aduan itu dihantar secara rasmi. Dokumen berkenaan dijangka akan dihantar dalam beberapa minggu akan datang apabila ia selesai diterjemahkan.
Bulan lalu, hakim di Amerika Syarikat juga membenarkan lebih banyak masa diberikan untuk mencari pemain berumur 34 tahun itu di alamatnya supaya perbicaraan mahkamah boleh bermula.
Mayorga mendakwa Ronaldo merogolnya di kediaman mewah miliknya sebelum membayar £295,000 (RM1.57 juta) sebagai balasan untuk menutup mulut.
0 Comments