Serena, Venus bertembung di Rome



ROME: Serena Williams akan bertemu kakaknya, Venus pada pusingan kedua Terbuka Itali, lebih dua dekad sejak kali terakhir mereka bertemu di gelanggang tanah liat di Rome itu dengan kedua-dua daripada mereka mara dengan gaya berbeza.

Pemenang di Rome sebanyak empat kali, Serena, 37, yang kembali selepas dua bulan dibelenggu kecederaan mara ke pusingan kedua dengan menewaskan pemain Sweden, Rebecca Petersen 6-4, 6-2 dalam tempoh hanya 76 minit.

Namun Venus, 38, yang memperoleh gelaran di Rome pada tahun 1999, memerlukan hingga tiga jam sebelum menundukkan pemain Belgium, Elise Mertens 7-5, 3-6, 7-6 (7/4).

Serena tidak bermain sejak kemenangan tiga set pada pusingan kedua Terbuka Miami pada Mac lalu, juga menentang Petersen, sebelum menarik diri berikutan kecederaan lutut.

Pemenang Grand Slam sebanyak 23 kali itu yang kini berada di ranking 11 dunia, turut menarik diri di Indian Wells Mac lalu selepas mengadu masih mengalami kesakitan.

“Saya sangat, sangat terdesak mahu kembali sertai jelajah dan bermain, tetapi ia tidak selalunya terjadi seperti yang dirancang,” kata Serena.

“Rasa seronok dapat kembali semula. Diharap saya dapat teruskan prestasi sebegini.”

Walaupun kurang latihan, Serena yang diletakkan sebagai pemain pilihan ke-10 tidak terancam dengan permainan Peterson, meski melakukan 22 kesilapan di set pertama.

“Saya tak boleh berlatih lebih banyak, saya berehat lebih lama daripada saya jangka,” katanya. - AFP

Post a Comment

0 Comments