Bekas Adun Pantai Manis kembali ke pangkuan Umno


Bekas Adun Pantai Manis, Abdul Rahim Ismail, yang menyertai Bersatu tiga bulan lalu, menyertai Umno semula semalam selepas mendakwa dia telah "lumpuh" dari segi politik.

Difahamkan selain Rahim, beberapa ahli jawatankuasa dari lima bahagian di Sabah juga telah meninggalkan Umno.

Rahim memberitahu Free Malaysia Today bahawa kepimpinan Umno Papar telah menjemput beliau untuk menyertai semula parti itu semalam.

Beliau menyatakan kekecewaan kerana dipinggirkan daripada jawatankuasa bahagian, dan menyifatkan usaha merekrut ahli Bersatu adalah sesuatu yang sukar kerana menurutnya Umno masih popular dalam kalangan akar umbi.

"Di Sabah, Umno masih kuat dan dilihat sebagai parti yang ikhlas, terutamanya apabila golongan miskin dan kelas pekerja membandingkan bantuan yang diperoleh daripada kerajaan Umno / BN dan apa yang mereka peroleh dari kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.

"Jadi jika orang mengatakan saya 'kacang lupakan kulit', saya tidak bersetuju kerana saya telah menyumbang kepada pembangunan dan politik di Papar," katanya kepada FMT.

Laporan media tentang Rahim keluar dari Bersatu hadir selepas Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor mengumumkan bahawa parti itu berharap untuk membuka 501 cawangan di seluruh negeri berkenaan.

Beliau berkata parti itu akan mengemukakan permohonannya kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam masa seminggu.

"Walaupun kami menerima sambutan menggalakkan dari pelbagai pihak untuk menaja lebih banyak cawangan, keputusan kami adalah berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan parti yang memerlukan cawangan ditubuhkan mengikut daerah pengundian," katanya.

- malaysiakini

Post a Comment

0 Comments