
LONDON: Novak Djokovic sekali lagi berjaya membuktikan kehebatan mengatasi Roger Federer sekali gus meraih gelaran kelima perseorangan dalam satu lagi final epik paling lama dalam sejarah 133 tahun Wimbledon semalam.
Pemain berusia 32 tahun itu kekal bertahan selama hampir lima jam (4 jam 57 minit) dengan pelbagai helah dilakukan Federer, untuk merakam kemenangan 7-6(5) 1-6 7-6(4) 4-6 13-12(3) yang kali pertama menyaksikan final perseorangan lelaki Wimbledon ditentukan menerusi tiebreak.

Djokovic juga menyamai pencapaian Bjorn Borg di kedudukan keempat senarai pemenang Wimbledon dan kurang empat gelaran Grand Slam di belakang Federer dan kurang dua berbanding Nadal.
"Kamu perlu terus mengingatkan diri sendiri bahawa kamu di sini dengan tujuan untuk memenanginya dan kamu lebih baik dari lawan kamu,” kata Djokovic ketika ditanya mengenai bagaimana dia melepasi cabaran sukar berkenaan.
"Saya gembira akhirnya dapat menikmati keseronokan sebagai juara. Saya hanya terpisah satu mata sebelum menang. Perlawanan ini ada segala-galanya.
"Saya rasa ini adalah final yang paling sukar pernah saya tempuhi.”

Tapi pukulan Federer terkeluar di mata akhir sekali gus memberikan kejayaan Djokovic.
"Ia perlawanan sangat hebat dan lama. Tahniah Novak, ia sangat gila,” kata Federer.
"Saya akan cuba melupakannya tapi ini adalah perlawanan hebat.
Federer juga berharap kemampuannya pada usia itu boleh dijadikan contoh kepada pemain lain.
"Saya harap dapat memberikan perasaan betapa pada usia 37 tahun kamu masih boleh melakukannya, saya rasa hebat.
"Kekalahan ini mengambil masa untuk pulih secara fizikal.
"Saya mengerah segala kudrat, saya masih mampu berdiri dan saya harap lelaki lain seusia 37 tahun dapat juga melakukannya.”
Federer memulakan cabaran dengan garang di permulaan saingan namun akur dengan kehebatan Djokovic di hujung saingan. – Reuters/AFP

0 Comments