
PENYANYI Ernie Zakri meminta warganet terutama pengikutnya agar memberikan komen berhemah tanpa menyentuh hal sensitif termasuk mempersenda fizikal seseorang di media sosial.
Ernie, 27, mengakui terkesan dengan komen terbaru diterimanya yang mengatakan dia kelihatan berisi meskipun tahu individu berkenaan mungkin sekadar bertujuan untuk bermesra dengannya.
“Saya bukan marah pun. Cuma, sara terpanggil untuk mengutarakan isu ini yang boleh dianggap bahaya kerana ia mampu memberi kesan buruk sehingga seseorang bertindak membunuh diri.
“Kita lihat sekarang banyak kes buruk berlaku disebabkan komen yang boleh mengganggu psikologi seseorang. Kalau memang niat untuk bermesra pun, apa salahnya komen yang berhemah dan bukannya negatif.
“Namun, bagi saya hal menyentuh fizikal seseorang atau ‘body shaming’ adalah sangat tidak patut. Mana kita tahu apa pernah dilalui seseorang itu sebelum ini mengenai fizikalnya dan tiba-tiba individu yang tidak dikenali mempersendakan dirinya,” katanya kepada Harian Metro.
Penyanyi Ku Bersuara itu mengakui dia terkilan apabila menjadi mangsa komen sebegitu dan mahu memberikan kesedaran kepada orang ramai menerusi media sosial.
“Saya ada memuat naik foto terbaru dan ada yang komen saya sudah gemuk. Terus-terang, sebagai manusia biasa komen sebegini buat saya jadi sedih.
“Jadi, saya rasa perlu bersuara untuk utarakan hal ini menerusi media sosial. Ia sekadar teguran bersama untuk memastikan orang ramai lebih peka bahawa komen negatif sebegini boleh berakhir dengan perkara bahaya,” katanya.
Terdahulu, Ernie menerusi IG Story menyuarakan menjadi mangsa komen seseorang mengenai fizikalnya. Dia turut meminta pengikutnya belajar cara menghormati dan berhemah jika mahu memberikan komen.
-myMetro
0 Comments