
KUANTAN: Mayat Ketua MIC Bahagian Paya Besar ditemui kira-kira dua kilometer dari kenderaannya di Gebeng, malam tadi dipercayai terbabit kemalangan.
Mayat Ramesh Ganesan ditemui orang awam kira-kira jam 10.45 malam sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Pengerusi MIC Pahang, V Arumugam, ketika dihubungi mengesahkan mangsa adalah Ramesh yang dipercayai terbabit dalam kemalangan.
Jurucakap JBPM Pahang, berkata Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Bomba (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian pada jam 10.55 malam selepas menerima panggilan daripada orang awam.
“Kami menerima maklumat mengatakan ada kemalangan, namun, selepas anggota tiba di tempat kejadian mendapati mayat berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Kejadian itu dimaklumkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang difahamkan sudah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menyiasat punca kematian mangsa yang dipercayai ada unsur jenayah.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, mengesahkan mengenai penemuan mayat terbabit dan pihaknya sedang menyiasat punca kematian mangsa sama ada disebabkan kemalangan ataupun sebaliknya.
“Kita sedang menunggu laporan bedah siasat. Sama ada kes bunuh atau kemalangan, saya akan maklum kemudian,” katanya.
0 Comments