'Saya tak fikir RM19.4b dicuri'



LAPORAN PAC | Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ahmad Badri Mohd Zahir, memberitahu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), beliay tidak percaya wang bernilai RM19.4 bilion yang lewat dipulangkan itu sebenarnya dicuri.

Malah, kata Ahmad Badri, mengikut pendapat peribadinya wang tersebut masih ada di tempat yang sepatutnya.

"Saya tidak fikir ia dicuri," katanya.

Menurut Ahmad Badri lagi, apa yang berlaku sebelum ini hanya melibatkan isu prosedur dan bagaimana ia sepatutnya diproses.

"Tidak mungkin... pada ketika ini wang itu tiba-tiba dicuri, disalahgunakan atau apa saja.

"Cuma mungkin - seperti yang saya katakan - ialah kita menguruskan aliran tunai. Saya tak fikir (duit itu) hilang di mana-mana, walaupun satu sen," katanya.

Ahmad Badri berkata demikian semasa memberi keterangan kepada PAC pada 16 Okt 2018 sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Subang, Wong Chen, sama ada beliau percaya dana sebanyak RM19.4 bilion itu dicuri atau disalah guna.

Dibentang di parlimen

Sebelum ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa di parlimen, sebanyak RM19.47 bilion daripada kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dipulangkan tetapi sebaliknya "dirompak".

Lim mendakwa wang tersebut diletakkan dalam akaun yang disatukan.

"Disebabkan ia diambil sebagai pendapatan, ia telah digunakan oleh kerajaan sebelum ini," katanya di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Badri - yang dilantik sebagai ketua setiausaha perbendaharaan Sept tahun lalu - berkata pendapatan kasar daripada GST sepatutnya diletakkan dalam akaun yang disatukan terlebih dulu.

Wang itu katanya kemudian dipulangkan kepada peniaga melalui tabung amanah.



Oleh itu, katanya, apa yang tersisa dalam dana yang disatukan itu akan menjadi hasil bersih daripada GST.

Apabila ditanya - pada tanggapannya - apa asas yang membuat Lim mengeluarkan kenyataan sebegitu, Ahmad Badri berkata, ia mungkin disebabkan menteri terbabit melihat kepada jumlah pulangan yang sepatutnya dibayar kerajaan.

"Saya tak pasti (mengapa), mungkin beliau melihat kepada pulangan yang sepatutnya dibayar.

"Hal ini kerana menteri kewangan seorang yang aktif, kerana sebagai akauntan, dia suka untuk melihat," katanya.

Beliau juga berkata, ada pendapatan mencukupi daripada kutipan GST untuk membayar RM19.4 bilion yang terlewat dipulangkan itu.

Namun Ahmad Badri menjelaskan dana RM19.4 bilion perlu diaudit sebelum Kementerian Kewangan mengambil sebarang tindakan memulakan proses pemulangan.

Laporan PAC mengenai kelewatan bayaran balik RM19.4 bilion daripada kutipan GST itu dibentang di parlimen hari ini.

- malaysiakini

Post a Comment

0 Comments