Lantikan CJ baru: Masa padam 'keburukan masa lalu' - Badan Peguam


Badan Peguam mengalu-alukan pelantikan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.

Dalam suatu kenyataan, presidennya Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata Tengku Maimun dikenali sebagai seorang hakim yang adil dan memiliki pengetahuan luas mengenai undang-undang.

"Ia detik paling bermakna dalam sejarah Malaysia kerana untuk pertama kali seorang wanita dilantik ke jawatan tertinggi antara tiga sayap utama negara, iaitu pihak kehakiman, selain badan perundangan dan eksekutif.

"Ini membuktikan gender bukan pertimbangan berbanding kelayakan dan keupayaan seseorang itu.

"Badan Peguam akan terus menjalinkan hubungan kerja yang baik dengan ketua hakim negara (yang baru) sejak beliau menjadi ketua pendafftar Mahkamah Persekutuan lagi," katanya.

Menjelaskan lanjut, Abdul Fareed berkata dengan pelantikam Tengku Maimun, maka waktunya telah tiba untuk membawa kehakiman ke suatu tahap baru dan memadamkan kesemua keburukan masa lalu.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tengku Maimun dilantik sebagai ketua hakim negara yang baru bagi menggantikan Richard Malanjum yang bersara pada 12 April lalu.

Pelantikan itu sekali gus menjadikan Tengku Maimon sebagai wanita pertama di Malaysia memegang jawatan tersebut, berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Terdahulu, tempoh perkhidmatan Richard sebagai Ketua Hakim Negara berakhir pada 12 April lalu, setelah mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

Dalam kenyataannya Pejabat Perdana Menteri turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Richard di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan tersebut.

Untuk rekod, Tengku Maimun berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 sebelum dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi hakim Mahkamah Persekutuan pada November lalu.

- malaysiakini

Post a Comment

0 Comments