KUALA LUMPUR: “Kami jarang berenggang.”
Begitu luahan, Datin Effa Rizan yang kehilangan suami, Allahyarham Dahlan Zainuddin, 78, yang menghembuskan nafas terakhir selepas empat hari koma di Hospital Selayang (HS), malam tadi.
Reda suami yang dinikahi sejak 42 tahun lalu pergi menghadap Ilahi seminggu sebelum Syawal, Effa, 58, mengakui sukar membayangkan Aidilfitri tanpa insan tersayang.
“Mungkin saya periang, jadi orang lihat saya kuat, tabah dan berjiwa kental. Namun, dalam hati, siapa yang tahu. Mungkin Allah beri sedikit kekuatan untuk menempuh ujian ini.
“Hakikatnya, bukan mudah saya menelan semua ini... Kami jarang berpisah (berenggang). Selepas berhenti menyanyi, saya menjadi suri rumah sepenuh masa, menjaga anak di rumah.
“Sekarang mungkin saya dikelilingi sanak-saudara dan kawan, jadi perasaan kehilangan suami belum dirasai sepenuhnya.
“Nanti, apabila bersendirian, pasti bergenang air mata mengingatkan memori dengan arwah,” katanya ketika ditemui di Masjid
Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara untuk dikebumikan, selepas solat Zohor, tengah hari tadi.
Penyanyi era 1970-an itu meninggal dunia di Hospital Selayang, pada jam 9.48 malam tadi, selepas empat hari koma akibat diserang strok.
Selain Effa, Dahlan yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan meninggalkan tiga anak iaitu Natasha Idha, 41; Mohd Danial, 35; dan Nur Athinia Ines, 24.
Effa berkata, beliau dan keluarga tidak beriya-iya membuat persiapan menyambut Syawal selepas Allahyarham dimasukkan ke hospital, Sabtu lalu.
“Perasan nak beraya beriya-iya pun tak ada. Anak-anak sudah membeli baju raya untuk bapa mereka... Tapi apakan daya,” katanya.
Effa mengaku tidak sampai hati menyediakan juadah lontong dan sambal Jawa yang menjadi kegemaran arwah di pagi raya kerana bimbang terkenang memori silam.
“Arwah suami paling suka makan lontong dan sambal Jawa... Itu dua menu wajib. Masaklah juadah lain macam nasi beriani sekalipun, lontong tetap kena ada. Maklumlah, arwah suami orang Jawa,” katanya.
Empat tahun lalu, Dahlan pernah diserang strok yang mengakibatkan lumpuh sebelah kiri. Pada kejadian terbaru, Allahyarham diserang buat kali kedua di bahagian kanan pula ketika menanti waktu berbuka puasa.
Allahyarham pernah bertugas di Jabatan Pemasaran dan Pengiklanan, The New Straits Times Press Berhad pada 1977. Allahyarham aktif dalam pasukan bola sepak NSTP, termasuk menjadi jurulatih sejak mula bekerja hingga era 1980-an.
0 Comments