JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membudayakan agenda rendah karbon menerusi pelancaran program Kampus Tanpa Plastik Sekali Guna di Dewan Alumni universiti itu, dekat sini, hari ini.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Wahid Omar, berkata program itu secara tidak langsung selaras inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke arah membina masyarakat kampus mesra alam sekitar.
“Budaya ini sudah dipraktikkan sejak kira-kira enam tahun lalu dan hari ini ia mula dijalankan secara agresif membabitkan semua kakitangan serta mahasiswa UTM.
“SDG adalah agenda global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang memperkenalkan 17 matlamat perlu dicapai menjelang 2030, selain menjadi elemen penting sesebuah negara kerana ia merangkumi kesejahteraan komuniti dan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
“Selaras dengan inisiatif itu, program ini akan menjadi langkah berterusan universiti dalam mengaspirasikan pelan Kampus Rendah Karbon, Kampus Sifar Sampah dan Kampus Pengurusan Sampah Efektif,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program berkenaan di sini.
Wahid berkata, menerusi agenda Sifar Sampah, pihak pengurusan menyasarkan penurunan sisa plastik domestik dalam kampus berkurangan menjelang 2022 dan semua sisa organik akan dikitar semula di dalam kampus bagi menghasilkan bahan guna semula baja dan produk hiliran untuk ternakan serta penghasilan tenaga boleh diperbaharui.
“Memandangkan jumlah sisa bukan kitar semula semakin meningkat di UTM, inisiatif ‘Sifar Sampah’ sudah dimulakan sejak tahun lalu dengan matlamat untuk mengurangkan jejak karbon sehingga 40 peratus menjelang 2020.
“Inisiatif semasa yang berkaitan sisa plastik dan sampah adalah Polisi, Pelaksanaan dan Pemantauan (3P) yang akan mempraktikkan budaya tanpa plastik, selain penggunaan bahan mesra alam seperti alternatif plastik dan ‘waste-to-wealth’ dalam kampus,” katanya.
0 Comments